Kesahihan Kitab-Kitab Utama Syi’ah Menurut Pandangan Ulama-Ulama Mereka
Setiap kali persoalan-persoalan aqidah ditimbulkan dari kitab-kitab mu’tabar Syi’ah Imamiyyah, dengan mudah golongan Syi’ah menolak kesahihan riwayat-riwayat tersebut.
Alasan mereka ialah tidak ada seorangpun ulama’ mereka yang mensahihkan riwayat-riwayat dalam kitab mereka atau mereka sendiri tidak menyatakan riwayat-riwayat tersebut sahih.
(lihat juga perbahasan selingan dalam artikel ini)
Ini dibuktikan dengan pernyataan mereka dibawah,
‘Tiada seorangpun ulama Syi’ah yang pernah menyatakan semua hadith yang mereka kumpul sebagai benar atau sahih. Juga, tiada muhaddith Syi’ah pernah mengiktiraf sebarang kitab hadith Syi’ah sebagai sahih dan diterima kesemuanya’
Bahkan, apabila dibawakan mana-mana pernyataan dari Kitab Usul al-Kafi, karya al-Kulaini, mereka dengan mudahnya menjawab
‘Sheikh Muhammad Ya’qub al-Kulaini (329 H) merekodkan 16200 hadith dalam bukunya al-Kafi. Ulama Syi’ah telah mengklasifikasikannya kepada Sahih, Muwathhaq, Qawi, Hasan dan Da’if.
Benarkah dakwaan mereka ini? Adakah ia satu fakta ataupun sebenarnya satu helah bagi menutup kebenaran?
Kita boleh simpulkan hujah mereka sebagai
- Tiada ulama Syi’ah yang pernah mengiktiraf kesemua riwayat-riwayat yang dikumpulkan sebagai benar dan sahih
- Kitab-kitab utama perlu dilihat kepada darjat kesahihannya
Insya Allah, dalam artikel ini, akan didedahkan fakta yang sebenar bagi menjawab pernyataan mereka.
Pengenalan kepada kitab-kitab utama Syi’ah
Sebelum melangkah lebih jauh, perlu diketahui bahawa di sisi Syi’ah Imamiyyah, 4 buku utama ataupun al-Kutub al-Arba`ah diiktiraf sebagai paling berautoriti selepas al-Quran.
Buku-buku tersebut ialah
- Al-Kafi fi ‘Ilm al-Hadith oleh Abu Ja’far al-Kulaini (329H)
- Man La Yahduruh al-Faqih oleh Ibn Babawayh al-Saduq al-Qummi (381H)
- Tahzhib al-Ahkam fi Sharh al-Muqni’a oleh Abu Ja’far al-Tusi (460H)
- Al-Istibsar fi ma Ikhtilaf min al-Akhbar oleh Abu Ja’far al-Tusi (460H)
Hal ini dijelaskan oleh Ayatollah al-Sayyid Husayn Bahr al-`Ulum (1422H) dalam mukadimmah Talkhis al-Shafī of Abū Ja`far al-Ţūsī
إن الإجتهاد لدى الشيعة مرتكز على الكتب الأربعة الكافي للكليني ومن لا يحضره الفقيه للصدوق والتهذيب والاستبصار للطوسي وهي من الأصول المسلمة كالصحاح الستة لدى العامة
Terjemahan: Sesungguhnya ijtihad (ulama) di sisi Syi’ah bergantung kepada kitab yang empat: al-Kafi al-Kulaini, Man la Yahdhuru al-Faqih al-Saduq, al-Tahzhib dan al-Istibsar al-Tusi. Ini adalah (kitab) usul yang diterima seperti mana Sihah Sittah (kitab-kitab sahih yang enam) di sisi kebanyakan (golongan sunnah)
Rujukan: Talkhis al-Shafi (Muqaddimah) ,al-Sayyid Husayn Bahr al-`Ulum (1422), m/s 29 [Najaf]
Al-Kulaini (329H) and al-Kafi
Al-Kafi fi ‘Ilm al-Hadith,” karya ulama terkemuka Syi’ah, Abu Ja’far al-Kulaini merupakan kitab yang paling utama dan masyhur di kalangan empat kitab tersebut.
Pengarang kitab tersebut menyakini semua riwayat-riwayat dalam kitabnya sebagai benar dan sahih, atas sebab itulah beliau mengarang kitab tersebut.
Dalam muqaddimah al-Kafi, beliau dengan jelas menyebutkan
وقلت إنك تحب أن يكون عندك كتاب كاف يجمع فيه من جميع فنون علم الدين ما يكتفي به المتعلم ويرجع إليه المسترشد ويأخذ منه من يريد علم الدين والعمل به بالآثار الصحيحة عن الصادقين عليهم السلاموالسنن القائمة التي عليها العمل وبها يؤدي فرض الله عز وجل وسنة نبيه صلى الله عليه وآله وقلت لو كان ذلك رجوت أن يكون ذلك سببا يتدارك الله تعالى بمعونته وتوفيقه إخواننا وأهل ملتنا ويقبل بهم إلى مراشدهم
Saya berkata: “Sesungguhnya anda ingin mempunyai sebuah kitab yang lengkap yang terhimpun di dalamnya semua bidang ilmu agama (Islam) yang memadai bagi seseorang pelajar, yang menjadi rujukan bagi pencari hidayah dan orang yang ingin kepada ilmu agama serta mahu beramal dengannya boleh mengambil daripadanya melalui riwayat-riwayat yang sahih dari orang-orang yang benar a.s. (imam-imam Ahl al-Bait) dan (mengandungi) sunnah yang diyakini yang boleh diamalkan serta (dengan athar-athar ini) boleh dilaksanakan segala kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah ‘azza wa jalla dan sunnah nabi-Nya s.a.w. dan keluarganya. Dan aku katakan: “Jika demikian, aku harapkan ia (kitab) ini menjadi sebab untuk Allah memberikan pertolongan dan taufiq-Nya kepada saudara-saudara kita dan penganut ajaran kita serta memberikan petunjuk kepada mereka”.
Rujukan: Abū Ja`far al-Kulaynī Mukaddimah al-Usul min al-Kafi Jilid 1, m/s 8 [Tehran]
Dia mengatakan lagi:
وقد يسر الله وله الحمد تأليف ما سألت وأرجو أن يكون بحيث توخيت
Terjemahan: segala pujian bagi Allah, sesungguhnya Dia telah memudahkan penulisan sepertimana yang anda minta dan aku harapkan ia sesuai dengan apa yang anda maksudkan.
Rujukan: al-Kafi oleh Abū Ja`far al-Kulaynī (d. 329), Jilid 1, m/s 9 [Tehran]
Begitu jelas pengesahan al-Kulaini yang mengatakan sebab pengumpulan al-Kafi ialah untuk menyediakan riwayat-riwayat yang sahih yang diperlukan oleh penganut ajaran Syi’ah. Ini menunjukkan riwayat-riwayat yang terdapat di dalam kitab tersebut adalah sahih di sisi beliau.
Ulama mutakkhirin Syi’ah, Ayatollah Muhammad Mahdi al-Aşifi menulis dalam Tarikh FiqhAhl al-Bayt:
وقد جمع رحمه الله في موسوعته هذه ما صح لديه من أحاديث الأئمة الهداة عليهم السلام
Terjemahan: Sesungguhnya dia (al-Kulaini) (semoga Allah merahmatinya) telah mengumpulkan di dalam kitabnya hadith Imam-Imam (yang menjadi petunjuk) a.s yang sahih di sisinya.
Rujukan: Riyađ al-Masail fī Bayan Aĥkam al-Shar` wa al-Dala’il, oleh al-Sayyid ‘Ali al-Ţabaţaba’i(1231H), Jilid 1, m/s 31 [Qum] – Tarikh Fiqh Ahl al-Bayt termasuk dalam mukaddimah.
Ayatollah Abu Talib al-Tajlil al-Tibrizi juga mengesahkan pengakuan al-Kulaini dalam mukaddimah kitabnya Mu`jam al-Mahasin wa al-Masawi
Dia menulis tentang al-Kulaini dan kitab al-Kafi sebagaimana berikut:
وقد صرح في مقدمته بصحة أحاديثه حيث قال وقلت تحب أن يكون عندك كتاب يأخذ منه من يريد علم الدين والعمل به بالآثار الصحيحة عن الصادقين عليهم السلام . . . . إلى أن قال وقد يسر الله وله الحمد تأليف ما سألت وأرجو أن يكون بحيث توخيت
Terjemahan: Sesungguhnya dia (al-Kulaini) telah menjelaskan dalam muqaddimah kitabnya tentang kesahihan hadith-hadithnya (al-Kafi) bila ia berkata: “Saya berkata: sesungguhnya anda ingin mempunyai sebuah kitab yang lengkap yang terhimpun di dalamnya semua bidang ilmu agama (Islam) yang memadai bagi seseorang pelajar, yang menjadi rujukan bagi pencari hidayah dan orang yang ingin kepada ilmu agama serta mahu beramal dengannya boleh mengambil daripadanya melalui riwayat-riwayat yang sahih dari orang-orang yang benar a.s. (imam-imam Ahl al-Bait)……….. sehingga katanya: “Segala pujian bagi Allah, sesungguhnya Dia telah memudahkan penulisan sepertimana yang anda minta dan aku harapkan ia sesuai dengan apa yang anda maksudkan”.
Rujukan: Mu`jam al-Maĥasin wa al-Masami, of Abu Ţalib al-Tibrizi, m/s 17 [Qum]
Pengesahan yang diberikan al-Kulaini itu sangat memberi kesan kepada ulama Syi’ah Imamiyyah Ithna ‘Ashariyyah sehingga sebahagian mereka menjadikannya sebagai hujah untuk membuktikan kesahihan kandungan kitab al-Kafi.
Di antara mereka ialah Al-Huur al-‘Amili (1104H), seorang ulama hadith Syi’ah yang mashyur. Beliau sangat menyakini kesahihan semua riwayat yang terdapat di dalam kitab al-Kafi. Beliau membuktikan perdiriannya berdasarkan kepada kenyataan al-Kulaini tersebut dengan katanya:
وهو صريح أيضا في الشهادة بصحة أحاديث كتابه لوجوه منها قوله بالآثار الصحيحة ومعلوم أنه لم يذكر فيه قاعدة يميز بها الصحيح عن غيره لو كان فيه غير صحيح ولا كان اصطلاح المتأخرين موجودا في زمانه قطعا كما يأتي فعلم أن كل ما فيه صحيح باصطلاح القدماء بمعنى الثابت عن المعصوم بالقرائن القطعية أو التواتر
Terjemahan: Ia juga adalah kenyataan yang jelas dalam mengesahkan kesahihan hadith-hadith yang terdapat di dalam kitabnya (al-Kafi) kerana beberapa faktor. Antaranya kata-katanya (al-Kulaini di dalam mukaddimah al-Kafi): “Dengan athar-athar yang sahih”. Dan satu perkara yang sudah dimaklumi bahawa dia (al-Kulaini) tidak menyebutkan apa jua kaedah (yang dapat digunakan) untuk membezakan riwayat-riwayat yang sahih dan tidak sahih jikalau terdapat riwayat-riwayat yang tidak sahih di dalamnya dan tidak ada juga istilah ulama mutaakhirin pada zamannya sebagaimana yang akan dijelaskan. Maka kerana itu diyakinilah bahawa setiap riwayat yang terdapat di dalamnya adalah sahih mengikut istilah mutaqaddimin dengan maknanya yang tsabit daripada al-Ma’sum (imam-imam Syi’ah) berdasarkan bukti-bukti yang qat’ie atau tawatur.[1]
Rujukan: Khatimah Tafsil Wasaa’il al-Shiah ilá Tahsil Masaa’il al-Shari`a, of al-Hurr al-`Amili (1104H), Jilid 30, ms 196 [Qum]
Nota: Maksud perkataan al-Hurr (istilah ulama mutaakhirin) adalah istilah yang mengklasifikasikan riwayat-riwayat menurut darjat kesahihan (Sahih, Muwaththaq, Qawi, Hasan dan Da’if). Ianya tidak digunapakai oleh ulama Syi’ah Ithna’ Ashariyyah melainkan setelah kurun ke-7, sebelumnya ulama mutaqqidimin mereka hanya menggunakan istilah sahih atau tidak sahih. Ini akan dijelaskan kemudian.
Namun begitu al-Sayyid Muhammad al-Mujahid al-Tabataba’i (1242H) mengemukakan hujah yang agak berbeza daripada pandangan di atas dengan mengatakan:
إن إخبار الكليني بصحة ما دونه في الكافي كما يمكن أن يكون باعتبار علمه بها وقطعه بصدورها عن الأئمة عليهم السلام فيجوز الاعتماد عليها والحال هذه كسائر أخبار العدول كذلك يمكن أن يكون باعتبار اجتهاده وظهورها عنده ولو بالدليل الظني فلا يجوز إذن الاعتماد عليه فإن ظن المجتهد لا يكون حجة على مثله كما هو الظاهر من الأصحاب بل ومن العقلاء وحيث لا ترجيح للاحتمال الأول وجب التوقف به لأن الشك في الشرط يوجب الشك في المشروط فيلزم التوقف
Terjemahan: Sesungguhnya pernyataan al-Kulaini tentang kesahihan riwayat-riwayat yang didokumentasikan olehnya di dalam al-Kafi boleh jadi menurut pertimbangan ilmunya dan keyakinannya bahawa ianya datang dari Imam-imam a.s.. Maka (jika berdasarkan keyakinan) harus berpegang dengannya padahal ia seperti sekalian riwayat daripada orang-orang yang adil. Begitu juga boleh jadi ia berdasarkan ijtihadnya dan apa yang jelas di sisinya walaupun berdasarkan dalil yang bersifat zanni (tidak diyakini sepenuhnya atau sangkaan sahaja). Maka (jika berdasarkan zanni) tidak harus berpegang kepadanya kerana zann (sangkaan) mujtahid tidak boleh dijadikan hujah sebagaimana pendapat yang nyata dari ashab dan golongan pemikir. Dan apabila tidak boleh ditarjihkan kepada kemungkinan pertama, maka wajiblah bertawaquf (tidak membuat sebarang keputusan) terhadapnya kerana sesungguhnya syak dalam dalam syarat membawa kepada syak dalam aplikasinya maka (pada ketika itu) mestilah bertawaquf.
Rujukan: Mafatih al-Usul, oleh al-Sayyid Muĥammad al-Ţabaţaba’i (1242H), m/s 332 [Tehran]
Ayatollah Husayn `Ali al-Muntazari pula mengemukakan pandangannya dengan bahasa yang lebih ringkas:
واعتقاد الكليني بصحة الرواية ليس من الحجج الشرعية إذ ليس هو معصوما عندنا
Terjemahan: Kepercayaan al-Kulaini akan kesahihan riwayat (di dalam kitabnya) tidak termasuk dalam hujah syar’iah kerana dia bukanlah ma’sum di sisi kita.
Rujukan: Dirāsāt fī al-Makāsib al-Muĥarrama, oleh Ĥusayn `Alī al-Muntažarī, jilid 3, m/s 123 [Tehran]
Walaupun ulama Syi’ah berbeza pendapat tentang keseluruhan kitab al-Kafi sebagai sahih atau tidak, majoriti menyakini ianya sahih secara keseluruhan dan al-Kulaini sendiri menyakini dan mengesahkan kesahihan kitab beliau.
Ibn Bābawayh (381H) dan Man la Yahđuruh al-Faqih
Abū Ja`far ibn Babawayh al-Qummi, mashyur dikenali sebagai as-Syeikh al-Saduq juga menyakini semua riwayat-riwayat yang disebutkannya di dalam Man la Yahđuruh al-Faqih sebagai betul dan sahih.
Sama seperti al-Kulaini, beliau sendiri mengesahkan kesahihan kitabnya itu, di samping menerangkan sebab dia mengumpulkan riwayat-riwayat tersebut.
Ibn Babawayh menyebutkan secara jelas di dalam muqaddimah Man la Yahđuruh al-Faqih bahawa dia mengumpulkan riwayat-riwayat tersebut atas permintaan ulama Syi’ah pada zamannya, Sharaf ad-Din Ni’ma. Ulama tersebut menginginkan dia menulis karya yang padat yang menjelaskan fiqh, undang-undang Islam, perkara halal dan haram.
Ibn Babawayh menulis:
وصنفت له هذا الكتاب بحذف الأسانيد لئلا تكثر طرقه وإن كثرت فوائده ولم أقصد فيه قصد المصنفين في إيراد جميع ما رووه بل قصدت إلى إيراد ما أفتي به وأحكم بصحته وأعتقد فيه أنه حجة فيما بيني وبين ربي تقدس ذكره وتعالت قدرته
Terjemahan: Aku mengumpulkan kitab ini untuknya (Sharaf al-Dīn Ni`ma) dengan membuang sanad-sanadnya supaya tidak menjadi banyak jalan periwayatannya walaupun manfaatnya banyak. Aku tidak bermaksud padanya sebagaimana maksud pengarang-pengarang dalam mengemukakan semua yang mereka riwayatkannya tapi aku bermaksud untuk mengemukakan apa yang aku fatwakan dan yakin tentang kesahihannya, dan aku percaya ia akan menjadi hujah di antaraku dengan Tuhanku, yang maha suci lagi maha kuasa.
Rujukan: Ibn Bābawayh al-Qummī Man lā Yaĥđuruh al-Faqīh jil. 1 hal. 2-3 [Qum]
Apa yang dikemukakan oleh beliau itu begitu jelas menunjukkan bahawa beliau menyakini semua periwayatannya dalam kitabnya sebagai benar dan sahih.
Dr Abd al-Hadi al-Fadli, ulama kontemporari Syi’ah membuat komentar selepas memetik kata-kata Ibn Babawayh dengan katanya:
ونصه هذا واضح وصريح في أنه يعتقد بصحة ما في كتابه ويراه حجة بينه وبين الله تعالى
Terjemahan: Kenyataan beliau ini adalah nyata dan jelas menunjukkan bahawa beliau mempercayai tentang kesahihan isi kandungan kitabnya dan beliau berfikir ia akan menjadi hujah antaranya dan Allah ta’ala.
Rujukan: ‘Abd al-Hadi al-Fadli Usul al-Hadith hal. 217 [Beirut]
At-Tibrizi juga menyatakan perkara yang sama tentang Ibnu Babawayh al-Qummi dan bukunya itu dan ia menjadi sokongan kepada apa yang telah dikemukakan:
وقد صرح لصحة أحاديثه بقوله في مقدمته قصدت إلى إيراد ما أفتي به وأحكم بصحته وأعتقد فيه أنه حجة فيما بيني وبين ربي
Terjemahan: Beliau (al-Qummi) telah menjelaskan kesahihan riwayat-riwayatnya berdasarkan kata-katanya di dalam muqadimmah kitabnya (yang berbunyi): “aku bermaksud untuk mengemukakan apa yang aku fatwakan dan yakin tentang kesahihannya, dan aku percaya ia akan menjadi hujah di antaraku dengan Tuhanku, yang maha suci lagi maha kuasa”.
Rujukan: Abū Ţālib al-Tabrīzī Mu`jam al-Mahasin wa al-Masami’ hal. 17 [Qum]
Begitu juga dengan Ayatollah Ali as-Sistani kerana beliau menyebutkan perkara yang sama bila beliau berkata:
إنه قدس سره قد شهد في مقدمة كتابه بصحة جميع ما رواه فيه حيث قال ولم أقصد فيه قصد المصنفين في إيراد جميع ما رووه بل قصدت إلى إيراد ما أفتي به وأحكم بصحته وأعتقد فيه إنه حجة فيما بيني وبين ربي تقدس ذكره وتعالت قدرته
Terjemahan: Sesungguhnya beliau (Ibnu Babawayh al-Qummi semoga Allah menyucikan ruhnya), telah bersaksi dalam muqaddimah kitabnya tentang kesahihan keseluruhan riwayatnya apabila beliau mengatakan: “Aku tidak bermaksud padanya sebagaimana maksud pengarang-pengarang dalam mengemukakan semua yang mereka riwayatkannya tapi aku bermaksud untuk mengemukakan apa yang aku fatwakan dan yakin tentang kesahihannya, dan aku percaya ia akan menjadi hujah di antaraku dengan Tuhanku, yang maha suci lagi maha kuasa”.
Rujukan: `Alī al-Sīstānī Qā`ida la Đarar wa lā Đirār hal. 87 [Qum]
Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, Ibn Babawayh membuang sanad-sanad dari Man la Yahduru al-Faqih kerana tidak mahu memanjangkan kitabnya. Namun begitu beliau telah menjelaskan bahawa beliau tidak memasukkan riwayat-riwayat yang tidak sahih di sisinya sesuai dengan pendekatan ulama sezamannya.
Oleh kerana Ibn Babawayh merupakan ulama mutaqqidimin Syi’ah Imamiyyah dan tiada istilah ulama mutaakhirin pada zamannya, maka dia menilai kesemua riwayat-riwayatnya sebagai sahih.
Ulama terkenal Syi’ah, Baha’ al-Din al-‘Amili (1034H) menyatakan dalam kitabnya ‘Mashriq al-Shamsayn
وقد جرى رئيس المحدثين ثقة الإسلام محمد بن بابويه قدس الله روحه على متعارف المتقدمة في إطلاق الصحيح على ما يركن إليه ويعتمد عليه فحكم بصحة جميع ما أورده من الأحاديث في كتاب من لا يحضره الفقيه
Terjemahan: Ketua muhaddith, Tsiqah al-Islam Muhammad bin Babawayh moga Allah menyucikan ruhnya, telah mengambil pendekatan ulama awal yang berpegang dan bergantung kepada istilah sahih yang umum, maka dia menghukum sahih ke atas keseluruhan hadith-hadith yang dikemukakannya di dalam kitabnya Man la Yahduru al-Faqih.
Rujukan: Bahā’ al-Dīn al-`Āmilī Mashriq al-Shamsayn wa Iksīr al-Sa`adatayn, hal. 269-270 [Qum]
Perkara yang sama juga disebutkan oleh ulama Syi’ah yang terkenal, Muhammad Muhsin al-Fayd al-Kashani (1091H) dalam kitabnya al-Wafi:
وقد جرى صاحبا كتابي الكافي والفقيه على متعارف المتقدمين في اطلاق الصحيح على ما يركن اليه ويعتمد عليه فحكما بصحة جميع ما أورداه في كتابيهما من الأحاديث وإن لم يكن كثير منه صحيحا على مصطلح المتأخرين
Terjemahan: Sesungguhnya pengarang kitab al-Kafi dan al-Faqih mengambil pendekatan ulama mutaqaddimin di dalam menghukum sahih (sesuatu hadith) secara mutlak mengikut kecondongan hatinya dan keyakinan kepadanya lalu kedua-duanya menghukum sahih keseluruhan hadith yang mereka berdua kemukakan di dalam kitab mereka berdua walaupun mungkin banyak dari riwayat-riwayat tersebut tidak sahih menurut istilah ulama akhir (mutakhirun).
Petikan-petikan di atas telah cukup membuktikan al-Kulaini dan Ibn Babawayh mengesahkan kesahihan keseluruhan kitab-kitab mereka dan kaedah mereka selari dengan ulama awal Syi’ah.
Al-Ţusi (d. 460) dan at-Tahzhib serta al-Istibsar
At-Tusi sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini sama seperti dua orang pengarang kitab-kitab utama di sisi Syi’ah juga mengesahkan kesahihan kitab-kitab beliau.
Al-Fayd al-Kashani menyatakan di dalam kitabnya al-Wafi,
أن مدار الأحكام الشرعية اليوم على هذه الأصول الأربعة وهي المشهود عليها بالصحة من مصنفها
Terjemahan: Sesungguhnya hukum-hukum syari’ah hari ini berkisar di sekitar empat kitab utama dan pengarangnya sendiri memberikan kesaksian tentang kesahihannya.
Rujukan: al-Wafi oleh al-Fayd al-Kashani (d. 1034), jilid 1, m/s 24 (cetakan Esfahan)
Yusuf al-Bahrani (1186H) juga menyatakan perkara yang sama dalam kenyataannya membantah segolongan ulama Syi’ah yang menolak pensahihan at-Tusi.
أن التوثيق والجرح الذي بنوا عليه تنويع الأخبار إنما أخذوه من كلام القدماء وكذلك الأخبار التي رويت في أحوال الرواة من المدح والذم إنما أخذوها عنهم فإذا اعتمدوا عليهم في مثل ذلك فكيف لا يعتمدون عليهم في تصحيح ما صححوه من الأخبار واعتمدوه وضمنوا صحته كما صرح به جملة منهم كما لا يخفى على من لاحظ ديباجتي الكافي والفقيه وكلام الشيخ في العدة وكتابي الأخبار
Terjemahan: Tawthiq dan tajrih yang menjadi asas kepada ulama Syi’ah mengklasifikasikan riwayat sebenarnya diambil daripada perbincangan ulama terdahulu. Begitu juga dengan riwayat-riwayat yang terdapat padanya perbincangan tentang keadaan perawi sama ada dipuji (dipercayai) atau dikeji (ditolak) hanya diambil daripada mereka (ulama mutaqqidimin). Oleh itu jika mereka (muta’akkhirin) menjadikan mereka (mutaqqidimin) sebagai sandaran dalam perkara tersebut, maka bagaimana pula mereka tidak menjadikan mereka sebagai sandaran dalam mentashihkan riwayat-riwayat yang dikatakan sahih oleh mereka sepertimana yang dijelaskan oleh sebahagian mereka. Perkara ini tidak tersembunyi lagi kepada orang yang meneliti pendahuluan kitab al-Kafi and al-Faqih serta perkataan al-Syaikh (al-Tusi) dalam al-‘Uddah dan dalam kedua kitabnya (Tazhib dan al-Istibsar)
Berdasarkan kepada apa yang telah dikemukakan maka dapat disimpulkan bahawa mana-mana riwayat yang dianggap sahih oleh empat orang ulama ini sebenarnya adalah sahih secara keseluruhannya. Ini kerana pengklasifikasian riwayat-riwayat yang diikuti oleh majoriti ulama moden tidak pernah wujud melainkan setelah sekian lama ulama-ulama tersebut melakukannya seperti mana yang disebutkan oleh al-Hurr al-Amili dan Baha’ al-Din.
Akhbariyyun vs Usulliyun
Jika ulama terdahulu telah mengakui keseluruhannya sahih, maka kenapa hadith-hadith Syi’ah diklasifikasikan oleh ulama kemudian? Mengapa diwujudkan kitab seperti Sahih al-Kafi (dengan maksud ada riwayat yang tidak sahih di dalamnya)?
Jawapannya ialah ulama Syi’ah setelah kurun ke-7 terpaksa mempertahankan doktrin Syi’ah dari kritikan tajam Ahl as-Sunnah.
Maka mereka mula mengklasifikasikan hadith dalam kitab mereka. Golongan inilah yang disebut sebagai golongan Usulliyun.
Sedangkan ulama awal yang dikenali sebagai ulama Akhbariyyun menolak pengklasifikasian hadith.
Tindakan mereka telah menyebabkan perselisihan yang besar antara ulama Akhbariyyun dan Usulliyun
Perselisihan ini dinyatakan oleh Dr. `Abd al-Hadi al-Fadli’ dalam kitabnya Uşul al-Ĥadith:
يراد بالتصحيح هنا اعتداد جميع ما في الكتب الأربعة من أحاديث رويت عن أهل البيت عليهم السلام معتبرة ومقطوعا بصدورها عن الأئمة والمسألة هذه وقعت موقع الخلاف بين علمائنا وطال البحث فيها وطال معه النقاش حولها
Terjemahan: Yang dimaksudkan dengan pentashihan di sini ialah menganggap semua hadith-hadith yang diriwayatkan daripada Ahl al-Bait a.s. di dalam empat kitab sebagai suatu yang mu’tabar dan diyakini bahawa ia diriwayatkan daripada imam-imam. Permasalahan ini adalah perkara yang diperselisihkan di kalangan ulama kita (Syi’ah) dan perbahasan tentangnya adalah panjang di samping terdapat polemik di sekitarnya.
Rujukan: Uşūl al-Hadith `Abd al-Hadi al-Fadli, m/s 210 [Beirut]
Ulama Akhbariyyun menentang sama sekali pengklasifikasian darjat hadith bahkan menganggapnya sebagai bid’ah. Ini kerana bagi mereka semua riwayat dalam kitab yang empat adalah sahih
Ulama dan pengkaji Syi’ah, al-Sayyid Muhyu al-Din al-Musawi al-Ghurayfī (1412H) menerangkan perkara tersebut dalam kitabnya yang disahkan oleh Ayatollah Abu al-Qasim al-Khui,
وقد شجب الأخباريون تنويع الحديث وعدوه من البدع التي يحرم العمل بها وبسطوا البحث في إبطاله وإثبات صحة جميع أخبار كتبنا الأربعة بل جميع الأخبار التي نقلوها عن الكتب المعتبرة لأنها محفوفة بقرائن تفيد الوثوق بصدورها عن المعصوم عليه السلام
Terjemahan: Sesungguhnya ulama-ulama Akhbariyyun mengingkari pembahagian dan pengklasifikasian hadith, dan mereka menganggapnya sebagai perkara bid’ah yang haram untuk diamalkan. Mereka membahas dengan panjang lebar tentang kebatilannya dan menetapkan bahawa keseluruhan riwayat di dalam empat kitab kita (Syi’ah) adalah bahkan keseluruhan riwayat yang dinaqalkan dari kitab-kitab yang mu’tabar. Ini kerana riwayat-riwayat tersebut disokong oleh bukti-bukti yang memberikan keyakinan bahawa ia terbit daripada imam yang ma’sum a.s.
Rujukan: Qawa`id al-Hadith al-Sayyid Muhyi al-Dīn al-Ghurayfi, m/s 16-17 [Najaf]
Hal ini disebutkan juga oleh Ayatollah Murtadha Muţahhari (1407H) sebagaimana berikut:
أنهم يزعمون أن جميع الأخبار الواردة في الكتب الأربعة وهي الكافي ومن لا يحضره الفقيه والتهذيب والاستبصار أخبار صحيحة ومعتبرة بل وقطعية الصدور
Terjemahan: Sesungguhnya mereka (Akhbariyyun) meyakini bahawa semua riwayat yang didapati dalam kitab yang empat, al-Kafi, Man La Yahduru al-Faqih, at-Tahzib dan at-Ibtisar adalah sahih dan mu’tabar bahkan diyakini bahawa ia datangnya (daripada imam).
Rujukan: al-Tajdid wa al-Ijtihad fi al-Islam, Murtada Muţahhari (1407H), m/s 86 [Beirut]
Dengan nada yang sama, Ayatollah al-Uzma al-Sayyid Muĥsin al-Amin al-Amili (1371H) mengatakan:
فزعم الأخباريون أن اخبار الكتب الأربعة كلها صحيحة
Terjemahan: Sesungguhnya ulama Akhbariyyun meyakini bahawa keseluruhan riwayat dalam kitab yang empat sebagai sahih.
Rujukan: A`yan al-Shi`a, al-Sayyid Muhsin al-Amin (1371H), Jilid 3, m/s 223 [Beirut]
Golongan Akhbariyyun bukan sahaja menganggap sahih riwayat-riwayat mereka, bahkan mengatakan wajib diamalkan. Itulah antara dasar yang membuktikan bahawa mereka menolak pendapat membahagikan riwayat-riwayat kepada pembahagian tersebut.
Hal ini disebutkan oleh Ayatollah Muĥammad Baqir al-Irawani dalam kitabnya,
وسبب إنكار الأخباريين لهذا التقسيم أن جميع اخبار الكتب الأربعة صحيحة ويجب العمل بها بنظرهم
Terjemahan: Dan sebab Akhbariyyun mengingkari pembahagian ini (hadith-hadith) kerana menurut mereka kesemua riwayat-riwayat tersebut adalah sahih dan wajib diamalkan.
Rujukan: Durus Tamhidiyya fi al-Qawa`id al-Rijaliyya, Muĥammad Baqir al-Irawani, m/s 49 [Beirut]
Tambahan pula, bukan sedikit dari kalangan ulama Syi’ah Imamiyyah mutakkhirin yang juga menganggap kesemua riwayat di dalam empat kitab tersebut sebagai sahih.
Termasuk dalam golongan ini ialah ulama’ yang terkenal dalam bidang hadith dan fiqh. Bahkan, karya-karya mereka diakui sebagai sebahagian dari sumber yang utama sehingga hari ini.
Antaranya ialah:
- Muhammad Amin al-Astarabadi (1036H): Penentang utama kepada pembahagian hadith-hadith dan menyakini bahawa semua riwayat yang terdapat di dalam empat buku tersebut sebagai sahih. Beliau juga menulis sebuah kitab tentangnya yang bertajuk al-Fawaid al-Madaniyyah. Beliau merupakan ulama dalam hadith dan juga fiqh, menulis banyak kitab serta mensyarahkan kitab al-Istibsar dan at-Tahzhib.
- al-Khalil ibn al-Ghazi al-Qazwini (1089H): Ulama hadith dan fiqh dan mengarang banyak kitab. Antara karya beliau ialah syarah kepada al-‘Udda karya at-Tusi dan syarah kitab al-Kafi dalam bahasa Parsi yang terkenal, al-Safi. Ulama Syi’ah menyatakan beliau sangat menentang pembahagian hadith dalam kitab yang empat bahkan mewajibkan beramal dengannya.
- al-Sayyid Hashim al-Bahrani (1107H): Beliau merupakan seorang yang ‘alim dalam bidang hadith, seorang ahli fiqh dan juga tafsir. Beliau menulis lebih kurang 40 buah kitab termasuk sebuah kitab yang besar, Ghayat al-Maram wa Hujjat al-Khisam fi Ta`yin al-Imam min Ţariq al-Khass wa al-`Āmm dan juga kitab tafsir yang bertajuk al-Burhan fī Tafsir al-Qur’an. Kitabnya sangat dikagumi dalam dunia Syi’ah.
Selain itu, terdapat juga dari kalangan ulama Usulliyun yang menganggap semua riwayat-riwayat di dalam empat kitab tersebut terutamanya al-Kafi sebagai sahih. Ianya diakui oleh Ayatollah Baqir al-Irawani selepas menyebutkan pandangan Akhbari sebagaimana di atas.
ولعل هذا الرأي هو المعروف بين الاخباريين بل ولربما يظهر اختياره من بعض الاصوليين
Terjemahan: Boleh jadi pandangan ini sebagaimana yang sudah diketahui secara umum di kalangan golongan Akhbari juga dipilih oleh sebahagian Usulliyun.
Rujukan: Durūs Tamhidiyya fī al-Qawa`id al-Rijaliyya, Muĥammad Baqir al-Irawani, m/s 100 [Beirut]
Antara ulama Usulliyun yang beranggapan demikian ialah Ayatollah Uzma al-Sayyid Muhammad Sadiq al-Şadr (1419H) dan penulis kitab terkenal, al-Muraja’at, Ayatollah al-Sayyid `Abd al-Ĥusayn al-Musawi (1377H).
`Abd al-Husayn al-Musawi menulis dalam dialog palsunya bersama syeikh Azhar, Salīm al-Bishri (1335H):
وأحسن ما جمع منها الكتب الأربعة التي هي مرجع الإمامية في أصولهم وفروعهم من الصدر الأول إلى هذا الزمان وهي الكافي والتهذيب والاستبصار ومن لا يحضره الفقيه وهي متواترة ومضامينها مقطوع بصحتها والكافي أقدمها وأعظمها وأحسنها وأتقنها
Terjemahan: Dan sebaik-baik himpunan kitab (dari kitab usul) ialah empat kitab yang merupakan sumber rujukan kepada Syi’ah Imamiyyah dalam perkara usul (akidah) dan furu’ (feqah) mereka dari zaman awal hingga ke zaman ini. Ia adalah al-Kafi, al-Tahzib, al-Istibsar dan Man La Yahduru al-Faqih. Semuanya adalah mutawatir dan kesahihan kandungannya benar-benar diyakini. Kitab al-Kafi adalah yang paling utama, penting, baik dan paling kemas.
Rujukan: al-Murāja`āt, of `Abd al-Husayn al-Musawi (1377H), m/s 419 [Beirut]
Ayatollah al-‘Uzma al-Sayyid Muhammad Sadiq al-Şadr (1419H) pergi lebih jauh lagi dengan menyatakan dengan jelas bahawa telah berlaku kesepakatan ulama tentang kesahihan semua riwayat yang terdapat di dalam empat kitab tersebut dengan katanya:
أن الشيعة وإن كانت مجمعة على اعتبار الكتب الأربعة وقائلة بصحة كل ما فيها من روايات غير أنها لا تطلق عليها اسم الصحاح كما فعل ذلك إخوانهم أهل السنة
Terjemahan: Sesungguhnya walaupun Syi’ah telah sepakat tentang keautoritian keempat-empat kitab tersebut dan kesahihan semua riwayat di dalamnya, namun ia tidak dinamakan dengan nama ‘as-Sihah’ sebagaimana yang dilakukan oleh saudara kita dari kalangan Ahl as-Sunnah.
Rujukan: al-Shī`a, Muĥammad Şadiq al-Şadr (1419H), m/s 127 [Tehran]
Ayatollah al-‘Uzma Mirza Muĥammad Ĥusayn al-Na’ini (1355H) yang merupakan ulama sebelum mereka berdua telah menempelak orang yang melakukan semakan terhadap kesahihan riwayat-riwayat di dalam keempat-empat kitab tersebut dengan anggapan sebagai membuang masa!!
Muridnya, Ayatollah al-‘Uzma al-Sayyid Abu al-Qasim al-Khu’i (1412H) menulis:
وقد ذكر غير واحد من الاعلام أن روايات الكافي كلها صحيحة ولا مجال لرمي شئ منها بضعف سندها وسمعت شيخنا الأستاذ الشيخ محمد حسين النائيني قدس سره في مجلس بحثه يقول إن المناقشة في إسناد روايات الكافي حرفة العاجز
Terjemahan: Bukan seorang sahaja dari kalangan alim ulama yang menyebutkan bahawa semua riwayat dalam al-Kafi adalah sahih dan tiada sebarang ruang untuk membuang mana-mana riwayat daripadanya dengan alasan sanad yang dha’if. Aku mendengar dari guru kami Ustaz Syaikh Muhammad Husayn al-Na’ini (semoga Allah mensucikan rohnya), berkata di dalam satu majlis: “Perbahasan berkenaan dengan sanad-sanad riwayat dalam al-Kafi adalah kerja yang sia-sia”.
Rujukan: Mu`jam Rijal al-Hadith wa Tafsil Tabaqat al-Ruwat, Abū al-Qasim al-Khu’i (1412H), Jilid 1, m/s 81 [Qum]
Cukuplah pernyataan ulama-ulama di atas menjadi bukti bahawa semua riwayat-riwayat dalam empat buku utama Syi’ah sebagai sahih terutamanya al-Kafi.
Bahkan tindakan mengkelasifikasikan hadith-hadith Syi’ah ditentang ramai ulama Syi’ah sendiri dan menyalahi ulama mutaqaddimun Syi’ah.
waAllahu a’lam
(Diterjemahkan dari www.sunnidefense.com/exp/ oleh Saudara Yusof bin Muhammad dari UIAM dan disemak oleh Abu Naaielah)
[1] (Tambahan penyemak daripada Kitab tersebut) sebagai menjelaskan lagi keyakinan beliau (al-Hurr al-‘Amili) tentang kesahihan al-Kafi:
ومنها : ما ذكره ، من أنه صنف الكتاب لإزالة حيرة السائل . ومعلوم أنه لو لفّق كتابه من الصحيح وغيره ، وما ثبت من الأخبار وما لم يثبت ، لزاد السائل حيرة وإشكالا . فعلم أن أحاديثه ـ كلها ـ ثابتة .
Bermaksud: Dan di antaranya (sudut kesahihan kitab al-Kafi) ialah apa yang disebutkan olehnya (al-Kulaini) bahawa ia mengarang kitab tersebut untuk menghilangkan kebingungan orang yang bertanya.
Dan sudah dimaklumi jikalau beliau menghimpunkan kitabnya dengan riwayat yang sahih dan tidak sahih serta khabar yang thabit dan tidak thabit tentu akan menambahkan kepada orang yang bertanya kebingungan dan kemusykilan. Maka kerana itu diyakini bahawa semua hadithnya adalah thabit (terbukti kesahihannya).
0 comments:
Post a Comment